jump to navigation

Sejarah Gereja

Sebelum kedatangan agama Kristian Seventh-Day Adventist (SDA) di Kampung Parapat Darat, tidak ada sebarang agama yang dianuti di sini. Kebanyakan penduduk di Kampung Parapat Darat mengamalkan kepercayaan  animisme atau lebih dikenali sebagai kepercayaan kafir. Manakala beberapa kawasan lain di daerah Kudat pula, sudah menerima ajaran Kristian daripada mazhab Katolik dan Protestant. Selain itu agama lain seperti Islam juga sudah bertapak di beberapa tempat. Agama Kristian Seventh-Day Adventist merupakan agama yang paling awal wujud di kampung Parapat Darat. Ia bertapak di sini pada tahun 1953, iaitu kira-kira 93 tahun selepas SDA diorganisaikan pada tahun 1860. Kini agama SDA sudah bertapak di kampung Parapat Darat selama 50 tahun.

Pertapakan SDA Di Kampung Parapat Darat Kudat.

 

Sejarah pertapakkan agama Kristian SDA di Kampung Parapat Darat, bermula pada Mei 1953, apabila Bilik Mosumbod iaitu seorang penganut agama Kristian SDA yang berasal dari Kampung Tambuluran melawat ke Kampung Parapat Darat. Pada tahun berikutnya iaitu pada Mac 1954, Bilik Mosumbod telah berkahwin dengan seorang gadis Kampung Parapat Darat iaitu Rusina Sagang. Rusina Sagang merupakan anak sulung kepada pemimpin masyarakat Kampung Parapat Darat iaitu Sagang Pandayang. Setelah berkahwin, Bilik Mosumbod menetap di Kampung Tambuluran untuk tempoh satu tahun sebelum berhijrah semula ke Kampung Parapat. Bilik Mosumbod adalah orang yang pertama memperkenalkan agama Kristian SDA di Kampung Parapat Darat. Manakala orang Parapat Darat yang pertama memeluk Kristian SDA ialah Rusina Sagang iaitu isteri kepada Bilik Mosumbod sendiri.

 

Selepas itu Bilik Mosumbod telah memperkenalkan ajaran SDA secara tidak formal kepada Sagang Pandayang, iaitu hanya melalui penceritaan dan kesaksian sahaja. Sagang Pandayang telah tertarik dengan ajaran agama baru ini lalu mengambil keputusan untuk meninggalkan kepercayaan kafir dan memeluk agama ini bersama-sama isterinya, Danggan Tongunan serta anak-anaknya yang lain Jurim Sagang dan Manganji Peter Sagang. Merekalah penduduk Kampung Parapat Darat yang paling awal menganuti agama Kristian SDA.

 

Pada ketika itu belum ada tempat perbaktian di Kampung Parapat Darat. Tempat perbaktian yang terdekat ialah di Kampung Tambuluran iaitu kira-kira lima batu dari Kampung Parapat Darat. Namun mereka sanggup berulang-alik dari Kampung Parapat Darat ke Kampung Tambuluran untuk berbakti pada setiap hari Sabat. Kebaktian Sabat di  Kampung Tambuluran dijalankan di rumah seorang anggota yang bernama Talado.

 

Agama baru ini telah mendapat sambutan daripada beberapa penduduk kampung tanpa wujud sebarang penentangan terhadap agama ini sejak ia mula diperkenalkan. Kebanyakkan penduduk kampung menerima agama SDA dengan hati yang terbuka. Satu persatu daripada penduduk kampung menerima agama ini secara perlahan-lahan, misalnya keluarga Masukup Okos memeluk agama ini pada tahun 1955, Gayoong, Sinun Bolintang dan Tongunan Lombinau pada tahun 1956. Manakala Magadau Togiling, Dalihing Gantiban dan Magansap Gantiban pada tahun 1957 serta ramai lagi penduduk kampung Parapat Darat yang lain turut menerima agama SDA secara berperingkat-peringkat sekitar tahun 1958 hingga 1960. Jumlah mereka pada peringkat awal, mencecah belasan orang. Ajaran SDA yang begitu indah menyebabkan ia dapat bertapak dengan kukuh di Kampung Parapat Darat Kudat. Kebanyakan mereka yang sudah mengenali agama SDA ini dibaptis pada tahun 1957. Nama-nama anggota yang telah dibaptis pada masa itu telah dicatatkan ke dalam Buku Gereja Tambuluran dan sebahagiannya direkod di dalam Buku Gereja  Marabau.

 

Pada peringkat permulaan anggota-anggota baru ini turut serta berbakti di Kampung Tambuluran pada setiap hari Sabat. Kadang-kadang mereka berbakti di Kampung Sikuati iaitu di rumah Chong Shui Lin atau nama panggilannya Ah Lin, kira-kira lapan batu daripada Kampung Parapat Darat. Semangat dan iman mereka begitu tinggi sehingga sanggup berjalan kaki sejauh itu, semata-mata untuk berbakti kepada Tuhan. Kebanyakan kawasan di daerah Kudat yang telah diterokai oleh umat Advent pada masa itu belum mempunyai gereja sendiri, oleh yang demikian perbaktian-perbaktian terpaksa diadakan di rumah-rumah anggota. Begitulah keadaan anggota-anggota SDA sekitar tahun 1950-an hingga awal tahun 1960-an.

 

Pertambahan anggota dari masa ke masa mendorong mereka untuk mengadakan perbaktian di Kampung Parapat Darat sendiri tanpa perlu melawat ke tempat lain seperti sebelum ini. Pada tahun 1956 anggota SDA di Kampung Parapat Darat mula berbakti di tempat sendiri. Namun mereka masih lagi berbakti di Gereja Tambuluran pada Sabat-Sabat tertentu apabila upacara penting dilakukan di sana seperti Perjamuan Kudus, Pembaptisan dan sebagainya. Di Kampung Parapat Darat, mereka memilih rumah Sagang Pandayang sebagai tempat perbaktian pada setiap hari Sabat. Rumah Sagang Pandayang pada ketika itu merupakan Rumah Panjang yang turut didiami oleh penduduk lain seperti Bilik Mosumbod, Masukup Okos, Umin Sorobou dan lain-lain. Kadang-kadang mereka tidak berbakti di rumah tetapi berkumpul di tempat yang lapang seperti bawah pokok dan batu besar untuk berbakti kepada Tuhan. Di sini mereka dapat melihat keindahan alam yang terbentang luas dan mempelajari bahawa semua itu adalah ciptaan Allah yang Maha Esa. Sagang Pandayang sendiri yang menjadi pemimpin agama mereka sejak tahun 1954 hingga tahun 1956.

 

Pada tahun 1956 pula, anggota-anggota SDA di Kampung Parapat Darat telah mendapat seorang pendeta tetap dari Missi SDA Sabah iaitu Pendeta Bibi Koubong untuk menggembalakan domba di Kampung Parapat Darat. Sebelum ini Pendeta Bibi Koubong bertugas di gereja Marabau, tetapi apabila keanggotaan di gereja Parapat Darat mulai berkembang, beliau dihantar ke Kampung Parapat Darat. Setelah setahun melayani di Kampung Parapat Darat, beliau ditempatkan di Gereja Tambuluran pula, iaitu pada tahun 1957. Hal ini kerana Gereja Tambuluran lebih memerlukan seorang pendeta kerana di sana terdapat sebuah sekolah Advent. Selain pendeta, terdapat juga para Missionaris dari Missi Sabah serta pemimpin agama dari Kampung Tambuluran dan Marabau yang datang melawat ke Kampung Parapat Darat untuk berkongsi pengetahuan agama bersama.

 

Setelah sekian lama berbakti di rumah-rumah anggota, dan melihat kepada keperluan-keperluan yang semakin meningkat, maka anggota-anggota di kampung Parapat Darat terfikir untuk mendirikan sebuah bangunan gereja untuk berbakti dengan lebih selesa dan teratur. Mereka sering kali berbincang untuk merancang kemajuan gereja supaya keinginan mereka tercapai. Pepatah mengatakan bahawa “bulat air kerana pembentung, bulat suara kerana muafakat,” inilah yang menjadi pedoman mereka. Akhirnya pada tahun 1965 sebuah bangunan gereja yang sederhana didirikan di atas tanah gereja seluas dua ekar yang didermakan oleh Sagang Pandayang.

 

Sebelum ini, Gereja Parapat Darat hanyalah Gereja Komponi kepada Gereja Tambuluran. Tetapi oleh sebab pertambahan ramai anggota serta sudah mempunyai bangunan gereja sendiri maka gereja ini perlu berdiri sebagai sebuah gereja penuh. Setelah mendapat persetujuan daripada Gereja Tambuluran sebagai gereja induk, maka Gereja Parapat Darat dapat meneruskan hasrat untuk berdiri sebagai sebuah gereja yang dapat mengurus dan mentadbir gereja sendiri tanpa bergantung kepada gereja induk. Pentahbisan atau pengurapan terhadap gereja komponi ini perlu dilakukan sebagai satu upacara khas sebelum bertukar status menjadi gereja penuh. Pada hari itu juga Gereja Parapat Darat ditahbiskan. Selepas pentahbisan ini, nama-nama anggota Gereja Parapat Darat yang tercatat di dalam Buku Gereja Tambuluran dan Marabau telah dipindahkan ke dalam Buku Gereja Parapat Darat.

 

Dengan pertambahan anggota dan kemajuan semasa, maka pihak Missi SDA Sabah memperuntukkan sejumlah wang untuk membina sebuah gereja baru dan sebuah rumah pendeta di Gereja Parapat Darat pada tahun 1989. Pada kali ini sebuah gereja yang lebih besar dan diperbuat daripada konkrit didirikan. Tanah gereja yang terletak di atas bukit telah diratakan separas dengan jalan raya supaya keadaan sekeliling gereja lebih selesa dan lapang. Di sinilah gereja yang ketiga didirikan. Tidak lama kemudian, iaitu pada tahun 1995, sebuah bangunan gereja yang keempat didirikan bersebelahan dengan gereja ketiga. Gereja ini merupakan tempat perbaktian bagi anggota-anggota Gereja Parapat Darat sejak tahun 1996 sehingga sekarang. Gereja Parapat Darat ini memang sesuai dijadikan sebagai pusat kegiatan kerohanian di daerah Kudat kerana terletak di pertengahan jalan antara Gereja Pinawantai dan juga Gereja Kudat. Banyak kegiatan daerah yang dilakukan di sini setiap tahun.

Comments»

No comments yet — be the first.

Leave a comment